Percutian atau melancong merupakan
aktiviti untuk merehatkan diri dan minda setelah penat bekerja. Untuk melancong
mahupun pergi bercuti, anda perlulah melakukan pelbagai perancangan, termasuk
persiapan belanjawan agar tidak berlaku pembaziran dan memastikan percutian
anda berjalan dengan lancar.
Perancangan kewangan yang rapi dan
teliti sangat penting bagi mengelakkan kekusutan fikiran setelah pulang
bercuti. Berikut adalah beberapa tip yang boleh diamalkan jika anda merancang
untuk melancong atau bercuti, tidak kira di dalam negeri mahupun di luar
negara.
Menabung
Mempunyai tabungan yang mencukupi
sangat penting untuk bercuti. Jika anda mahu merancang untuk bercuti, mula
menabung seawal mungkin. Asingkan duit persiapan percutian ke dalam tabung
khas. Disiplinkan diri anda dan terus fokus pada perancangan anda.
Pakej promosi
Apabila memilih untuk bercuti di luar
negara, pilih negara yang mengadakan promosi pelancongan. Tanya ejen
pelancongan tempatan. Selidik terlebih dahulu tempat-tempat menarik di sesebuah
negara, supaya percutian anda diisi dengan aktiviti dan pemandangan yang
memberikan kepuasan percutian yang maksimum. Biasanya menjelang musim sejuk,
negara di Eropah giat mengadakan promosi pelancongan.
Perancangan
percutian
Sebelum melancong dan bercuti, anda
perlu membuat persiapan diri dan minda dengan perancangan yang rapi dan teliti.
Tentukan dengan betul negara, kota atau tempat peranginan yang sesuai sepanjang
tempoh percutian anda.
Buatlah pendaftaran di tempat yang akan
anda kunjungi. Untuk menjimatkan tenaga, perbelanjaan dan masa, rancang untuk
mengunjungi lokasi menarik berhampiran dalam sehari. Melalui perancangan itu,
anda boleh mengetahui jenis pengangkutan ke lokasi pilihan dan bayaran tambang.
Bajet semasa bercuti
Sediakan anggaran perbelanjaan harian
semasa anda bercuti, termasuk kos penginapan, makan, pengangkutan, dan cenderamata
yang akan dibeli. Anggaran perbelanjaan semasa bercuti adalah satu langkah
wajib bagi mengawal perbelanjaan anda semasa bercuti, terutama jika anda
bercuti di luar negara.
Apabila bercuti ke luar negara, anda
juga haruslah mengetahui kadar pertukaran wang negara yang ingin dilawati
supaya percutian tersebut bersesuaian dengan anggaran perbelanjaan anda. Ini
juga penting bagi mengelakkan anda tertipu semasa menukar wang. Mengetahui
kadar pertukaran wang asing memudahkan perancangan perbelanjaan, terutama
ketika membeli-belah.
Tempahan awal
Industri pelancongan banyak bergantung
kepada keadaan ekonomi sesebuah negara serta permintaan pelancong tempatan atau
asing. Oleh itu, adalah lebih baik jika anda menempah tiket penerbangan atau
tiket bas lebih awal, bagi mendapatkan harga yang murah. Tempahan saat akhir
adalah sangat mahal dan merugikan terutama ketika musim perayaan dan cuti
sekolah. Begitu juga dengan tempahan penginapan. Anda juga haruslah membuat
tempahan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan atau sebarang masalah semasa
percutian anda.
Bercuti bersama
anak-anak
Jika bercuti bersama anak-anak,
pastikan persiapan makanan dan kelengkapan mereka yang lain. Jika tempat yang
ingin dituju menyediakan kelengkapan dan makanan yang bersesuaian untuk anak-anak
anda, pastikan anda memasukkan keperluan perbelanjaan ini dalam anggaran
perbelanjaan percutian anda. Jika anda lebih selesa untuk membawa semua
kelengkapan anak-anak anda sendiri semasa bercuti, pastikan anda membawa
kelengkapan yang secukupnya dan harus mempersiapkan diri dan minda anda untuk
lebihan tenaga dan perhatian yang diperlukan untuk mengawasi bagasi yang
banyak. Di sini, perancangan yang rapi juga memainkan peranan yang penting.
Peta
Sebaik sahaja anda sampai ke destinasi
percutian anda, pastikan anda membeli peta tempat tersebut. Ini akan memudahkan
anda untuk merancang jenis pengangkutan yang sesuai untuk pergi melawat
tempat-tempat menarik yang telah anda tetapkan sebelumnya.
Pengangkutan
Dapatkan maklumat yang mencukupi
mengenai tempat atau negara yang ingin dilawati supaya lebih selesa dan mudah
bergerak serta merancang aktiviti dan tempat yang bakal dilawati. Pilih
pengangkutan yang paling murah serta pemandu pelancong yang tahu mengenai
selok-belok kawasan percutian tersebut bagi mengelakkan anda daripada ditipu
ataupun tersesat.
Apabila anda bercuti di dalam kumpulan
atau beramai-ramai, anda digalakkan menggunakan perkhidmatan teksi kerana ia
lebih murah berbanding bas atau kereta. Justeru, anggaran perbelanjaan
percutian anda dapat diringankan kerana berkongsi dan dibahagikan secara adil
beramai-ramai.
Sarapan percuma
Manfaatkan sarapan percuma yang
disediakan oleh pihak hotel dan makan hingga kenyang. Jika anda bercuti di
Eropah, makanan di sana adalah mahal. Dengan memanfaatkan sarapan yang
disediakan di hotel, anda boleh mengurangkan lagi perbelanjaan anda.
Ole-ole/ buah tangan
Buat penyelidikan di internet atau
dalam kalangan rakan atau keluarga yang pernah berkunjung ke tempat percutian
yang anda rancangkan. Dapatkan maklumat tentang kawasan yang menjual buah
tangan yang murah. Senaraikan juga semua nama ahli keluarga dan rakan supaya
anda tidak membeli buah tangan secara berlebihan. Senarai ini membantu anda
berbelanja dengan bijak dan secara adil dan saksama.
Dana Kecemasan
Simpan 20 peratus daripada anggaran
perbelanjaan percutian anda untuk dana kecemasan. Dana ini amat berguna jika
berlakunya sebarang perkara yang tidak disangka seperti jatuh sakit dan
memerlukan rawatan hospital. Dana ini juga membantu anda untuk menampung
perbelanjaan anda sekiranya anda telah terlebih belanja daripada anggaran
perbelanjaan anda.
Penggunaan wang
tunai
Sebaik mungkin cuba gunakan wang tunai
untuk membayar perbelanjaan, terutama apabila bercuti di luar negara. Anda akan
dikenakan caj perkhidmatan atau faedah yang tinggi jika menggunakan kad kredit.
No comments:
Post a Comment