PORTAL PENDIDIKAN PELANCONGAN

PORTAL PENDIDIKAN PELANCONGAN

Thursday 26 June 2014

ETIKA ASAS KE NEGARA ORANG


Memang seronok dapat berjalan-jalan ke negara orang. Salah satu sebab kita digalak mengembara adalah untuk belajar dan melihat cara hidup, adat dan budaya orang asing. Membaca dan menonton dokumentari di kaca televisyen tidak akan sama melihat dengan mata sendiri. Namun begitu, sebelum tiba ke destinasi, ketahui serba sedikit sensitiviti budaya negara yang bakal dilawati.

MENEGUR/ MENYAPA
Inilah perkara paling penting. Anda perlu tahu cara dan budaya bagaimana mereka menyambut atau menyapa orang pabila bertemu. Sesetengah budaya berjabat tangan, ada pula hanya menundukkan kepala dan tidak kurang juga yang berpeluk atau berlaga pipi. Misalnya, di kebanyakan negara Timur Tengah orang lelaki hanya bersalam sesama jantina, dan pabila bersalam mereka juga berpelukan. Ada yang berjabat menggunakan dua tangan, ada yang hanya sebelah tangan sahaja. Masyarakat negara China misalnya lebih senang hanya berjabat tangan dan tidak suka dipeluk. Jadi, anda perlu peka cara dan budaya menyapa orang di sesetengah negara.

PAKAIAN
Usah ambil mudah soal berpakaian. Di sesetengah negara Barat misalnya, walaupun hanya diundang makan malam di rumah, anda dikehendaki berpakaian formal seperti berkemeja, kot dan bertali leher bagi lelaki, dan gaun malam bagi perempuan. Begitu juga pabila berkunjung ke kelab hiburan, lain negara lain etika berpakaiannya. Oleh itu, fikir dan kaji sebelum anda melipat pakaian ke dalam bagasi.

FIKIR SEBELUM CAKAP
Hati-hati pabila mengeluarkan kata-kata, lebih-lebih lagi pabila hendak bergurau. Ada banyak perkara yang tidak boleh digunakan sebagai bahan jenaka. Lain budaya lain pula caranya. Buat kaji selidik tentang perkara yang boleh menimbulkan kemarahan dan menyinggung perasaan orang.

ANDAI ANDA PEROKOK
Sama seperti di negara kita, kebanyakan negara tidak membenarkan perokok merokok sesuka hati. Sebahagian negara menyediakan tempat khusus untuk merokok. Begitu juga pabila ke kelab hiburan, di Singapura misalnya, mereka tidak membenarkan pengunjung merokok di dalam kelab, kecuali di luar atau di bilik merokok yang disediakan. Jadi, perhatikan sekeliling jika ada papan tanda larangan merokok.

BERGAMBAR
Mengambil gambar pun ada etikanya. Anda mesti sensitif pada papan tanda yang melarang anda mengambil gambar seperti di muzium atau persembahan pentas. Begitu juga dengan penggunaan flash kamera. Jika anda ingin merakam wajah orang tempatan, anda disaran minta izin terlebih dahulu. Hormati hak peribadi orang lain. Anda bukannya di negara sendiri.

ETIKA MAKAN
Pabila berada di meja makan, sila peka dengan adab dan budaya menikmati hidangan. Lain negara lain caranya. Di Perancis misalnya, jika memakan buah-buahan, anda tidak boleh menikmatinya secara penuh. Kupas dan hiris buahbuahan tersebut, kemudian barulah dimakan. Begitu juga pabila menikmati salad, anda tidak boleh memotong daun salad sebaliknya anda perlu menggulung daun salad di atas garfu menggunakan pisau.

BELAJAR BAHASA DAN BUDAYA
Pelajarilah bahasa asas. Selain memudahkan anda berkomunikasi, ia juga merapatkan lagi hubungan anda dengan penduduk tempatan. Mereka tentunya menghargai dan seronok melihat kita sudi mendalami bahasa dan mempelajari adat dan budaya mereka. Samalah perasaannya pabila kita melihat orang asing menjamah durian, mencuba sambal belacan atau belajar menari tarian kuda kepang.


No comments:

Post a Comment